Tips Tambat Suami Di Rumah

Tips Tambat Suami Di Rumah

Tips tambat suami di rumah agar suami tercinta merasa senang dan sayang mahu meninggalkan rumah adalah salah satu resipi kejayaan seorang isteri menjadikan rumahtangga sebagai syurga bersama. Isteri dicipta dari tulang rusuk suaminya. Bukan dari kaki untuk dijadikan alas dan bukan juga dari kepala untuk dijunjung.

Sebaliknya, dekat dengan bahu untuk dilindung dan dekat juga dihati untuk dikasihi. Kelembutan isteri bukanlah kelemahan, bukan juga penghinaan tetapi hiasan untuk kecantikannya.  Justeru itu, hanya isteri jugalah yang boleh tambat suami dengan layanan yang mesra dan menjadikan rumah sebagai syurga rumahtangga anda berdua. Bila rumahtangga mula berlaku pergolakan dan perselisihan faham suami akan mula keluar rumah mencari kawan-kawan untuk melepak. Ini akan menjadi satu kebiasaan dan akibatnya isteri akan rasa sunyi keseorangan di rumah tiada berteman.

Pada artikel kali ini admin ingin kongsikan 5 tips atau petua tambat suami di rumah agar kaum wanita di luar sana yang sudah berkahwin mencuba demi keharmonian rumahtangga.

1. Tambat Suami Dengan Cara Bermanja

Perlu dibezakan antara manja dan mengada-ngada. Suami suka kepada isteri yang pandai bermanja tetapi belum sampai ke tahap mengada-ngada. Isteri yang manja bukan setakat mendapat apa yang dihajatinya bahkan menyenangkan perasaan suami sekali gus membuatkan ingatan suami hanya tertumpu kepadanya. Kelak, takkan adalah kisah munculnya gangguan orang ketiga.

2. Tambat Suami Dengan Sediakan Tempat Tidur VIP

Kamar tidur bukan setakat menyimpan rahsia rumah tangga bahkan menjadi medan untuk keduanya mencurah perasaan. Oleh itu, amatlah penting menjadikan kamar tidur ini eksklusif dan kreatif. Dekorasilah dengan warna-warna yang menjadi kegemaran suami bagi mengikat perasaannya terhadap anda.

3. Tambat Suami Dengan Ambil Berat Penampilan Suami

Ada suami gemar bila isteri memberi lebih perhatian terhadap hal-hal remeh berkaitan dirinya seperti mencadangkan baju apa yang hendak dipakai,  mengemas tali lehernya, mengelap kasut, memotong kuku dan macam-macam lagi. Walaupun hakikatnya dia bukanlah jenis yang begitu tetapi tak salah jika anda hendak mencuba sesuatu yang baru demi memeriahkan lagi rumahtangga.

4. Tambat Suami Dengan Terus Bergerak Kalau Dipanggil

Pernahkah anda dipanggil suami ketika sedang melakukan kerja-kerja rumah. Apa respons anda ketika itu? Bagi menyenangkan hatinya, segeralah tinggalkan pekerjaan dan tunaikan apa yang dikehendakinya. Pasti senyumnya melebar hingga ke telinga.

5. Tambat Suami Dengan Teman Suami Makan

Jadi tanggungjawab isteri untuk melayan suaminya dengan baik. Menghidangkan menu kegemarannya adalah satu bonus tetapi alangkah lebih bagus sekiranya anda juga duduk menemaninya makan. Pernah diceritakan, Thabit al-Banni berkata, “Terdapat seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya, yang sangat baik pekertinya terhadap suaminya. Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegang pelita sampai suaminya selesai makan. Pada satu malam, pelitanya kehabisan sumbu, lalu diambil rambutnya untuk dijadikan sumbu. Esok harinya, matanya yang buta kembali melihat. Allah memuliakannya kerana rasa hormatnya kepada suami.”