8 Ciri Ciri Suami Soleh Menurut Islam

lelaki_soleh_by_palieyashiro-d5y9qwb

lelaki_soleh_by_palieyashiro-d5y9qwb

Suami soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal (bukan dari sumber yang haram) serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong kearah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam. Suami soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada perintah Allah swt. dan RasulNya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya.

TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu senua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.

Terdapat lapan ciri-ciri suami yang soleh menjadi idaman isteri solehah. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Memiliki hati yang lemah lembut.

Suami soleh haruslah memiliki hati lembut dan perasan yang peka, dapat merasakan perasan orang lain. Ia dapat merasakan derita orang lain dan berusaha meringankan tanpa diminta. Ia ubati luka itu dengan kata-kata indah, senyuman tulus serta hadiah-hadiah yang menyenangkan. Kadang-kadang seorang isteri tertimpa musibah, ia seorang diri menanggung bebannya, hatinya luka, fikirannya keruh dan ghairah pun padam.

Rasulullah SAW. memberikan petunjuk agar suami selalu berusaha mengubati hati isteri-isterinya apabila ia terluka.

Dari Anas ra. berkata: “Shafiyyah mendengar bahawa Hafshah berkata Shafiyyah itu anak Yahudi. Maka menangislah ia. Lantas Rasulullah SAW. menghampiri sedangkan Shafiyyah masih dalam tangisannya.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Apa yang menyebabkan kamu menangis?”

Shafiyyah menjawab: “Hafshah berkata kepadaku bahawa aku anak Yahudi.”

Bersabda Rasulullah SAW. maksudnya : “Engkau adalah anak Nabi, bapa saudaramu Nabi dan engkau menjadi isteri Nabi. Dengan apa dia membanggakan dirinya atas dirimu?”

Kemudian Nabi bersabda maksudnya : “ Bertakwalah kepada Allah wahai Hafshah.” (Hadis Riwayat Nasai dan Tirmidzi)

Oleh itu pentingnya para suami mengambil teladan hikmah nabawiah yang agung ini dalam mengubati hati isteri yang terluka.

2. Menjaga rahsia rumah tangga.

Suami yang soleh mengetahui tentang kewajipan menjaga rahsia terutamanya rahsia rumahtangga. Islam melarang keras suami isteri menceritakan rahsia rumah tangga mereka kepada orang lain.

Dari Abu Sa’id Al Khudriy r.a. berkata, bersabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukkan manusia di hadapan Allah pada hari kiamat adalah seorang suami yang membuka rahsia dirinya kepada isteri dan isteri yang membuka rahsia dirinya kepada suami lantas salah seorang daripadanya menceritakan kepada orang ketiga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3. Mentaati perintah Allah.

Suami soleh dan isteri solehah hendaklah selalu bekerjasama dalam menegakkan ketaatan kepada Allah SWT serta saling menasihati dalam mencari reda Allah.

Allah SWT berfirman maksudnya : ” Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Maaidah ayat 2)

Sesungguhnya bekerjasama dalam ketaatan dan ibadah khususnya seperti solat, zikir, sedekah dan lain-lainnya memiliki pahala yang agung dan kesan positif dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW memuji suami isteri yang saling tolong menolong dalam taat kepada Rabbnya, rukuk dan sujud di tengah malam .

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun mengerjakan solat dan membangunkan isterinya. Jika ia enggan, disiramkan air diwajahnya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun malam mengerjakan solat dan membangun suaminya, apabila ia enggan disiramkan air di wajahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

4. Memuliakan keluarga isteri.

Suami soleh yang baik ialah suami yang memuliakan isteri dan memuliakan kedua mertuanya serta kerabat dan sahabat-sahabatnya.

Dari Anas ra. berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hubungkanlah silaturrahim.” (Muttafaqun Alaihi)

Bagi suami soleh yang ingin membahagiakan isterinya hendaklah menjaga perangai ini. Kunjungilah keluarga isteri, selalu bertanya khabar mereka dan membantu bila mereka memerlukan. Bukankah seorang suami juga suka jika isterinya memuliakan saudara-saudara dan sahabatnya? Sebagai seorang suami yang soleh perlu faham bahawa ibu dan bapa mertua adalah sama seperti ibu dan bapanya sendiri.

5. Memberi nasihat terhadap isteri.

Suami yang soleh hendaklah mampu mendidik dan mengajar isterinya dengan ilmu-ilmu yang bermanafaat seperti ilmu tentang halal dan haram, ilmu kekeluargaan, ilmu fekah, akhlak , fiqhud dakwah dan ilmu kemasyarakatan.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat 6)

Isteri yang solehah memperhatikan dan mencintai ilmu. Usahakanlah untuk memberi pengajaran kepadanya dan lapangkanlah jalan menuju kesana.

Rasulullah SAW. melarang orang yang menghalang wanita ke masjid.

Dari ibnu Umar r.a. sesungguhnya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “ Apabila isteri-isterimu meminta izin untuk ke masjid pada malam hari izinkanlah.” (Muttafaqun Alaihi)

Daripada hadis di atas jelas sekali bahawa wanita mempunyai hak untuk mempelajari ilmu agama di luar rumah sekiranya suami tidak mampu mengajarnya sendiri.

6. Memiliki rasa cemburu (tidak dayus).

Sifat seorang lelaki soleh adalah memiliki rasa cemburu kepada isterinya kerana itu mengisyaratkan cinta dan tinggi nilai isteri dihatinya. Islam memuji lelaki soleh yang memiliki rasa cemburu dan mencela yang tidak memilikinya kerana bererti lemahnya emosi dan tanggungjawab. Namun, Islam juga menetapkan batas-batasnya agar keharmonian rumah tangga tetap terpelihara.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW. maksudnya : “ Allah itu pencemburu dan seorang mukmin juga pencemburu. Kecemburuan Allah adalah bila ada seorang hamba datang kepadaNya dengan perbuatan yang diharamkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Seorang suami soleh yang tidak memiliki rasa cemburu terhadap kehormatan isterinya dengan membiarkan isterinya bersolek, membuka aurat, bercampur bebas dengan lelaki bukan mahram merupakan seorang yang dayus dan layak untuk mendapat azab yang pedih di akhirat nanti.

Dari Ibnu Umar ra. berkata, bersabda Rasulullah SAW. maksudnya :” Tiga golongan yang yang tidak akan masuk syurga; orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, orang yang dayus dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Nasai dan hakim)

7. Memiliki sifat sabar dan penyantun.

Seorang suami yang soleh harus memiliki sifat sabar dan penyantun. Ini kerana tiada sesuatu yang begitu ideal dalam kehidupan berumahtangga. Sebuah keluarga biasanya akan mengalami goncangan dan masalah. Jangan terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Dengan berbekal sifat sabar segala masalah dapat diselesaikan dengan baik. Sifat santun dan pemaaf merupakan perangai yang dicintai Allah dan RasulNya.

Firman Allah SWT maksudnya : “(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 134)

8. Memiliki sifat pemaaf.

Suami soleh perlu memiliki jiwa pemaaf kerana Allah SWT telah menghendaki wanita bersifat seperti dari tulang rusuk yang bengkok. Banyak masalah akan dapat diselesaikan sekiranya suami bersifat pemaaf. Kadang-kadang suami keliru membenci sesuatu yang ada pada isteri. Ternyata yang dibenci itu mengandungi kebaikan dan akan diperlukan pada saat tertentu.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata . Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisa’ ayat 19)

Kita sebagai suami yang soleh tidak harus mengharapkan wanita seperti malaikat, tanpa cacat. Wanita adalah makhluk Allah yang memiliki kelebihan dan kekurangan. Janganlah disebabkan sedikit kekurangannya telah menenggelamkan kesemua kebaikannya. Contohilah akhlak Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda.

Dari Abu Hurairah ra., bersabda Rasulullah SAW. maksudnya : “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Bila benci terhadap sebahagiannya ada bahagian lain yang menyenangkan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Semoga bermanfaat.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/