8 Gejala Kanser Usus

Gejala Kanser Usus
Gejala Kanser Usus

Gejala Kanser Usus

Barah atau kanser usus merupakan kanser kedua tertinggi di kalangan kaum lelaki di Malaysia. Kanser usus, jika dirawat pada peringkat awal, boleh meningkatkan kadar kemandirian hidup selama 5 tahun kepada 90% untuk tahap pertama. Malahan kanser usus adalah kanser yang mempunyai peluang untuk pulih meskipun berada pada tahap ke empat dengan menjalani rawatan yang disarankan. Secara amnya, kanser usus adalah kanser yang menyerang usus besar (kolon, recktum dan anus).

Usus besar bermula dari bahagian kanan dinamakan ‘caecum’ sehingga ke rektum. Fungsi usus besar adalah untuk menyerap air supaya najis yang terbentuk tidak berair. Oleh yang demikian, manusia boleh hidup sempurna tanpa mempunyai usus besar berbanding dengan usus kecil yang fungsinya adalah untuk menyerap air, vitamin dan zat-zat makanan. Oleh yang demikian, manusia tidak boleh hidup tanpa kehadiran usus kecil. Malahan fungsi usus besar boleh diambil alih oleh usus kecil.

Antara 8 gejala kanser usus adalah :

1. Berak Berdarah

Darah bercampur dengan najis, kadangkala najis bewarna hitam seperti kopi. Ini merupakan antara tanda-tanda awal barah usus.

2. Sembelit

Perubahan tabiat membuang air besar seperti sembelit. Tabiat membuang air besar bagi setiap individu adalah berlainan. Jika kekerapan membuang air besar menjadi terlalu lama, contohnya daripada tabiat hari- hari ke tandas menjadi berkurangan kepada setiap tiga atau empat hari sekali.

3. Cirit-Birit

Ini merupakan tanda-tanda barah usus di sebelah kiri.

4. Sembelit Diselangi Dengan Cirit

Kanser usus yang hampir tersumbat akan menyebabkan najis keras tidak dapat melalui usus besar. Pesakit akan mengalami gejala sembelit pada ketika itu. Najis yang tersumbat ini mempunyai banyak bakteria dan akan ‘membusuk’ di dalam usus, menyebabkan air kembali diserap ke dalam usus. Ini menyebabkan najis menjadi lembik dan berair. Pada ketika ini, pesakit akan mengalami gejala cirit. Cirit yang dialami adalah lebih daripada lima kali sehinggakan sesetengah pesakit mengadu tidak dapat mengawal simptom cirit ini. Kitaran sembelit dan cirit akan berulang.

5. Tidak Berak Dan Kentut Serta Muntah.

Gejala ini akan berlaku apabila usus sudah tersumbat seratus peratus.

6. Hilang Selera Makan Dan Turun Berat Badan.

Pesakit akan menjadi kurus serta hilang selera makan dalam jangka waktu yang singkat.

7. Sakit Perut

Gejala yang sangat diambil mudah. Sakit pada bahagian abdomen bergantung kepada kedudukan barah usus.

8. Tabiat Kerap Ke Tandas, Tetapi Tiada Najis 

Pesakit merasakan seperti mahu membuang air besar, tetapi apabila ke tandas, tiada najis yang keluar. Ini adalah disebabkan oleh kanser yang terletak pada bahagian rektum. Apabila ketumbuhan sudah memenuhi rektum, ianya memberikan mesej yang salah kepada badan seolah-olah rektum sudah dipenuhi najis. Sedangkan tiada najis di dalam rektum, yang memenuhinya adalah sel-sel kanser sahaja.

Rawatan

Rawatan definitif untuk kanser usus adalah pembedahan. Pembedahan yang dilakukan selalunya akan memotong bahagian usus yang berpenyakit dan menyambungkan semula usus yang telah dipotong atau bahagian usus akan dibawa keluar ke otot perut dan kulit sebagai beg najis (stoma).

Namun demikian, tidak semua bahagian kanser usus memerlukan stoma seumur hidup. Hanya kanser usus yang terletak di pangkal rectum iaitu berdekatan dengan injap (otot) yang mengawal kentut dan pembuangan air besar memerlukan stoma seumur hidup. Kebanyakan stoma yang dipasang untuk rawatan pembedahan kanser usus adalah bersifat sementara, namun ini bergantung kepada tahap kanser dan status kesihatan pesakit.

Dengan kehadiran teknologi pembedahan, rawatan pembedahan kanser usus boleh dibuat secara ‘laparoscopic’ atau ’key-hole’ surgery (pembedahan lubang kunci). Luka pembedahan adalah kecil dan proses pemulihan pesakit lebih pantas. Selain daripada rawatan pembedahan, sesetengah kanser usus memerlukan rawatan susulan seperti kimoterapi dan radioterapi. Ini adalah bergantung kepada tahap kanser semasa dikesan dan status kesihatan pesakit.

dapatkan sekarang

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/