9 Jenis Rawatan Gigi

Rawatan Gigi
Rawatan Gigi

Rawatan Gigi

Rawatan gigi semakin moden dan terkini. Rawatan gigi bukan lagi perihal mencabut, membuat gigi palsu atau hanya menampal gigi semata-mata. Kini, dengan lambakan teknologi di pasaran, rawatan gigi telah menjadi  satu bidang kosmetik. Setiap orang ingin kelihatan cantik. Kecantikan akan terserlah apabila tersenyum, terlihat susun atur gigi yang cantik, bersih dan menawan.

Pernahkan anda mendengar tentang ‘cosmetic dentistry’ atau ‘aesthetic dentistry’. Rawatan gigi kosmetik adalah rawatan yang lebih menekankan kepada susun atur dan rupa bentuk gigi terutamanya gigi hadapan serta menambah baik garis senyuman ‘smile line’ atau senyuman menawan setiap individu.

Pada dasarnya, untuk menghasilkan gigi yang putih atau mengubah susunan gigi secara keseluruhan tidaklah satu yang merumitkan. Namun begitu, operator memerlukan ilmu tentang anatomi gigi, mahir di dalam bahan-bahan pergigian dan dibantu oleh juruteknologi rawatan gigi yang cekap dalam selok belok restorasi gigi.

Bagi operator, mereka bukan sahaja memerlukan pemahaman sains dalam rawatan gigi semata-mata, malah mereka juga perlukan tangan yang seni untuk membentuk dan menata rias setiap gigi yang bermasalah. Meskipun pergigian kosmetik tidak diiktiraf sebagai satu bidang kepakaran di dalam profesion pergigian, tetapi setiap operator perlukan pembelajaran dan latihan berterusan untuk mendapat kemahiran yang tertinggi.

Siapakah ‘Cosmetic Dentist’?

Mereka ialah pegawai pergigian restoratif yang belajar secara intensif berkaitan ‘concept of smile design’. Mereka mungkin seorang pakar pergigian atau pegawai pergigian biasa yang mempunyai minat terhadap ‘cosmetic dentistry’.

Apakah Rawatan Yang Dianggap ‘Cosmetic’?

1. Pemutihan Gigi (Bleaching)

Pemutihan gigi adalah rawatan gigi yang dilakukan untuk mencerahkan permukaan gigi daripada warna asalnya. Ia boleh dilakukan pada gigi yang ‘vital’ (hidup) atau gigi yang ‘nonvital’ (tidak hidup).

Kekotoran pada permukaan enamel gigi boleh berlaku disebabkan oleh makanan, minuman (kopi teh), merokok, ubatan (antibiotic tetracycline), proses penuaan dan keturunan. Bahan aktif yang selalu digunakan di dalam setiap produk pemutihan ialah hydrogen peroxide dan carbamide peroxide. Proses pemutihan gigi boleh dilakukan sendiri di rumah atau oleh pegawai pergigian di klinik.

2. Tampalan Sewarna Gigi (Composite)

‘Composite’ adalah tampalan sewarna gigi. Tampalan sewarna gigi menjadi sangat popular kini. Dahulu, tampalan sewarna hanya dilakukan pada kegigian hadapan sahaja. Kini ia dijadikan bahan tampalan alternatif untuk kegigian belakang. Namun begitu, penggunaan bahan tampalan ini adalah sangat teknik sensitif.

Jika prosedur rawatan tidak dilakukan dengan betul, gigi akan mudah sensitif (ngilu), dan tampalan tidak akan kekal lama. Selain daripada itu, jika pengilapan tampalan tidak dilakukan, permukaan akan menjadi kasar. Ini akan menyebabkan makanan mudah terlekat dan akhirnya akan memudarkan warna tampalan tersebut.

3. Korona (Crowning)

Korona adalah prosthesis yang diletakkan pada gigi. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan korona ialah porcelain dan metal. Kebiasaannya, warna seakan-akan gigi akan lebih disukai oleh pesakit iaitu porcelain (seramik). Namun begitu, harga mungkin agak mahal bergantung kepada jenis seramik yang digunakan. Terdapat pelbagai jenis seramik. Antaranya ialah Emax, dan Zirconia.

4. Implan Pergigian

Dewasa ini, implan rawatan gigi menjadi daya tarikan untuk perletakan prosthesis gigi. Terdapat pelbagai jenama dipasaran. Antara yang terkenal ialah Nobel, Straumann dan Trinon dan Ostemm. Harga bagi sebatang implant bergantung kepada jenis dan jenama. Julat harga adalah diantara RM3000-RM 8000. Harga ini berserta implan dan prosthesis. Kebaikan implan pergigian ialah ia dapat mengelak pengecutan tulang rahang dan mengekalkan gigi asal supaya tidak dipotong.

5. Inlay Dan Onlay

Pada sesetengah keadaan, gigi mempunyai tampalan yang agak besar. Tampalan yang besar itu boleh difabrikasi daripada seramik atau ‘composite’ di makmal pergigian. Apabila tampalan yang dibuat itu diletakkan di dalam struktur gigi, ia dikenali sebagai inlay. Jika tampalan melibatkan permukaan kunyahan gigi ia dikenali sebagai onlay.

6. ‘Clear Orthodontic Aligners’

Rawatan ortodontik tidak boleh lari dengan pemakaian aplian mudah alih dan pelekatan braket pada permukaan gigi. Kini, teknologi semakin canggih, susun atur gigi boleh dilakukan dengan penggunaan ‘clear aligner’. Clear aligner ialah aplian boleh tanggal termoplastik yang tidak berwarna digunakan untuk masalah gigi yang tidak tersusun. Ia direka menggunakan computer, lebih selesa berbanding yang konvensional. Apabila pesakit tersenyum, aplian tidak kelihatan.

7. Pembedahan Gusi

Sering kali kita mendengar berkaitan pembedahan gigi bongsu. Namun, pembedahan gusi agak jarang. Corak gusi yang meliputi setiap gigi berbeza. Ini bergantung kepada kedudukan gigi pada rahang. Kadang-kadang corak gusi yang tidak sama menampakkan struktur gigi yang pendek.

Prosedur ‘shaping and contouring’ pada gusi akan membuang sedikit gusi dan tulang gigi supaya gigi akan kelihatan panjang. Perletakan korona (crown) akan lebih aestetik.

8. ‘Reshape And Contouring’ Gigi

Prosedur ‘reshape and contouring’ pada gigi pula ialah, memotong bahagian tertentu gigi supaya bentuk gigi lebih menarik. Prosedur ini tidak menyakitkan. Kadang-kadang ia selalu dilakukan bersama prosedur pelunturan gigi. Kosnya tidak mahal dan hasilnya sangat cantik.

9. ‘Tooth Jewellery’

Pernah dengar barang kemas untuk gigi? ‘tooth jewellery’ ini melibatkan pelekatan mutiara/emas pada permukaan gigi menggunakan simen pegigian. Perletakkan ‘tooth jewelery’ akan diletakkan oleh pegawai pergigian. ‘Tooth Jewellery’ in boleh dikeluarkan pada bila-bila masa jika perlu. Individu yang memakai ‘tooth jewellery’ perlu pastikan kebersihan pada kawasan perlekatan ‘tooth jewellery’ kerana dibimbangi akan terbentuknya karies.

Berapakah Kos Yang Terlibat?

Klinik pergigian kerajaan tidak menawarkan rawatan ini secara rutin. Sesetengah daripada rawatan gigi dilakukan khas untuk memelihara dan memulihara gigi asal pesakit yang bermasalah. Klinik pergigian kerajaan tidak mampu menampung permintaan pesakit yang ingin kelihatan cantik semata-mata untuk mendapatkan rawatan gigi. Pegawai pergigian di Unit Pergigian Restoratif akan melakukan majoriti rawatan yang dinyatakan.

Harga bergantung kepada makmal pergigian yang membuat prosthesis serta jenis prosthesis tersebut. Pihak kerajaan tidak memberi subsidi untuk semua rawatan pergigian kosmetik yang dinyatakan. Namun begitu , ramai yang berkunjung ke klinik pergigian awam untuk mendapat rawatan kerana kos rawatan gigi masih lagi murah berbanding di swasta.

Di klinik rawatan gigi swasta pula, bidang pergigian kosmetik ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Namun begitu, kos pengendaliannya sangat mahal. Tidak ramai masyarakat kita yang mampu untuk membayar setiap rawatan gigi yang dijalankan. Dinasihatkan agar mendapat anggaran kos bertulis terlebih dahulu sebelum memulakan rawatan.

dapatkan sekarang

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/