Adat Resam Perkahwinan

bersanding
adat resam perkahwinan

adat resam perkahwinan

Apa itu ADAT RESAM perkahwinan orang Melayu?

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa dan mempunyai adat resam tertentu untuk setiap kaumnya dan juga mempunyai perayaan dan cara menyambut keraian yang berbeza- beza. Adat perkahwinan Melayu adalah salah satu adat resam yang unik. Adat perkahwinan Melayu ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu adat merisik, adat meminang, adat bertunang, adat berinai, akad nikah dan bersanding. Adat resam ini begitu dititikberatkan dalam sesebuah perkahwinan supaya sesuatu upacara itu berlangsung dengan meriah dan penuh dengan istiadat. Adat resam ini juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelancaran sesebuah majlis perkahwinan.

Adat Resam Merisik

merisik

merisik

Adat resam ini merupakan peringkat pertama dalam sesebuah perkahwinan dimana ia melibatkan pertemuan di antara wakil keluarga lelaki dengan wakil keluarga perempuan. Pertemuan ini adalah sebagai tanda menghormati keluarga pihak perempuan. Selain itu, adat resam ini bertujuan untuk mendapat restu dan mengenal keluarga bakal isteri terlebih dahulu untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati untuk dijadikan isteri itu masih belum berpunya. Kebiasaannya, rundingan akan diadakan antara kedua belah pihak dan pihak lelaki pula akan memberikan sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda dan sekiranya pihak perempuan bersetuju, tarikh peminangan akan ditetapkan.

Adat Resam Meminang

meminang

meminang

Adat resam meminang ini biasanya wakil daripada pihak lelaki yang dipilih dari kalangan orang-orang tua dan berpengalaman akan diutus oleh ibu bapa lelaki mereka untuk meminang anak gadis pilihan hati anaknya. Pihak perempuan biasanya tidak akan terus memberi jawapan yang muktamad  kerana mereka seharusnya diberi tempoh masa untuk memberi jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pertemuan yang seterusnya akan membincangkan tentang mas kahwin dan hantaran untuk belanja kahwin dan sebagainya.

Adat Resam Bertunang

bertunang

bertunang

Sebaik sahaja peminangan lelaki diterima, majlis pertunangan akan diadakan. Pihak lelaki akan diwakili saudara-mara terdekat. Satu kenduri akan diadakan di rumah pihak perempuan sempena majlis pertunangan ini dan ibu pihak lelaki akan menyarungkan cincin dijari bakal menantunya. Hantaran untuk majlis ini kebiasaannya berupa tepak sireh atau sireh junjung sebagai yang utama, sebentuk cincin dan juga hantaran lain seperti buah-buahan, manisan, pakaian dan sebagainya yang telah digubah cantik untuk dijadikan hadiah kepada pihak perempuan. Pihak perempuan juga akan membalas hantaran tersebut dalam bilangan yang ganjil dan lebih banyak contohnya, jika pihak lelaki memberi 5 hantaran pihak perempuan akan membalas 7 hantaran. Sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, pihak lelaki seharusnya memberi sumbangan berupa hadiah yang akan ditetapkan oleh pihak perempuan kerana sudah dianggap melangkah bendul.

Adat Resam Berinai

malam berinai

malam berinai

Adat resam berinai ini akan diadakan secara berperingkat. Peringkat pertama dikenali sebagai berinai curi yang dilakukan 3 malam sebelum hari pernikahan berlangsung dan hanya saudara rapat sahaja yang terlibat. Peringkat kedua adalah berinai kecil yang diadakan 2 malam sebelum hari pernikahan yang melibatkan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai. Peringkat ketiga adalah berinai besar yang berlangsung satu malam sebelum akad nikah yang melibat lebih ramai orang dan juga jemputan khas dari pihak lelaki dan perempuan. Selepas berinai besar pengantin lelaki akan pulang terus ke rumah atau bermalam di rumah tumpang yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

Adat Resam Akad Nikah Dan Bersanding

bersanding

bersanding

Akad nikah merupakan acara kemuncak dalam perkahwinan Melayu. Istiadat ini dijalankan setelah semua syarat-syarat perjanjian dilaksanakan seperti wang belanja hantaran, mas kahwin dan lain-lain. Bapa pihak perempuan akan menjadi wali akad nikah dan dia juga boleh mewakilkan kepada tok kadi atau imam untuk menikahkan anaknya. Pada hari akad nikah selalunya pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu cerah. Sebelum upacara dijalankan, segala persiapan telah sedia dan paling penting saksi dari kedua- belah pihak. Seterusnya, pengantin lelaki akan duduk di tengah-tengah majlis. Tok kadi akan menemui pengantin perempuan untuk bertanya tentang persetujuannya. Tok kadi akan membaca khutbah nikah dan menerangkan secara umum tentang tanggungjawab suami isteri dan seterusnya akan mewakili bapa menikahkan anaknya. Pengantin lelaki akan melafazkan akad nikah dan jika kedua-dua belah pihak saksi mengatakan sah, maka sah lah perkahwinan mereka.

Fasa terakhir adalah persandingan dimana pengantin akan dihias rapi oleh mak andam. Upacara menyambut tetamu dari kedua belah pihak akan disambut meriah dengan pasukan kompang dan pencak silat. Pengantin akan bersanding diatas pelamin yang dihias indah dan diantara yang terdapat atas pelamin itu adalah bunga pahar. Para jemputan akan dijemput untuk menepung tawar pasangan pengantin. Kesimpulannya, adat resam ini dilakukan agar upacara yang dilakukan mengikut tertib dan lebih teratur.

dapatkan sekarang

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/