Bahaya Penyakit Batuk Kering

Batuk Kering
Batuk Kering

Batuk Kering

Batuk kering atau TB (Tuberkulosis) adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Bakteria ini sering menyerang bahagian paru-paru, tetapi kadang-kala ia juga boleh menyerang bahagian otak, jantung, tulang belakang, nodus limfa, kelenjar adrenal dan bahagian usus manusia.

Bagaimanakan TB Tersebar?

Anda boleh dijangkiti penyakit TB melalui titisan air di udara (‘airborne droplets) yang dicemari kuman TB. Pesakit TB boleh menyebarkan kuman TB melalui titisan air di udara apabila mereka batuk atau bersin. Kemungkinan anda dijangkiti penyakit TB bergantung kepada tahap daya ketahanan tubuh  masing-masing. Jika anda mempunyai daya ketahanan tubuh yang rendah, anda  berkemungkinan lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit TB.

Siapakah Golongan Yang Mempunyai Risiko Tinggi Mendapat Batuk Kering?

  1. Bayi, kanak-kanak, dan golongan tua
  2. Pesakit yang menghidap penyakit yang boleh mengurangkan daya ketahanan badan seperti penghidap penyakit HIV, pesakit kencing manis, pesakit buah pinggang tahap akhir (end stage renal failure) atau pesakit penyakit kanser;
  3. Pesakit yang mengambil rawatan steroid atau rawatan yang menrendahkan tahap daya ketahan badan seperti pesakit yang telah menjalankan pemindahan organ, pesakit Systematic Lupus Erythemotosus SLE/rheumatoid, Crohn’s, Ulcerative Colitis, psoriasis dan sebagainya;
  4. Pesakit yang sedang mengambil rawatan kemoterapi.

Apakah Kesan Batuk Kering Kepada Penghidap?

Apabila bakteria TB atau batuk kering menjangkiti seseorang, ia boleh merosakkan struktur tisu paru-paru sehingga ia menjadi keras (mengalami ‘fibrosis), pembentukan nanah di dalam paru-paru (dalam bentuk abses paru-paru atau ‘empyema) dan paru-paru berair (‘pleural effusion). Jika tidak dirawat, kerosakan ini akan menjadi kekal dan melarat sehingga menyebabkan paru-paru  berlubang (‘cavitating lesions’) atau ‘bronchiectatic’. Apabila sampai ke tahap kerosakan yang kekal, pesakit akan mengalami kesukaran bernafas. Kadang-kala walaupun rawatan telah dimulakan, kerosakan paru-paru itu tidak akan dapat dibaiki semula.

Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk mengesan penyakit TB dari peringkat awal jangkitan. Jika penyakit TB dikesan dari peringkat awal, kebanyakan pesakit mempunyai reaksi yang baik kepada rawatan. Malah, selepas 2 minggu rawatan TB, kebanyakan mereka tidak lagi mampu menyebarkan kuman batuk kering ini kepada individu lain.

01

Apakah Tanda-Tanda Penyakit Tuberkulosis?

  • Batuk berpanjangan
  • Batuk berdarah
  • Sakit dada semasa bernafas
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Demam berpanjangan
  • Kurang selera makan
  • Pengurangan berat badan yang mendadak
  • Berpeluh malam

Untuk penyakit batuk kering yang tidak melibatkan paru-paru, tanda-tanda jangkitan bergantung kepada lokasi jangkitan. Sebagai contohnya, jika ia melibatkan bahagian otak (radang otak disebabkan kuman TB atau ‘TB meningitis), penghidap boleh menunjukkan tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, muntah, kekeliruan mental ataupun sawan.

Sesiapa yang menghidap batuk yang berpanjangan lebih dari dua minggu, anda perlu diperiksa samada anda menghidap penyakit TB paru-paru ataupun tidak.

Sejarah-Penyakit-TBC

Bagaimanakah Doktor Mengesahkan Penyakit Batuk Kering?

Bagi penyakit TB ‘pulmonari’ (yang melibatkan paru-paru), doktor dapat mengesan jangkitan TB dalam paru-paru dengan mengenalpasti bakteria TB dalam kahak pesakit. Ini dibuat dengan mencalitkan kahak pesakit pada slaid kaca (‘smear’) dan melihat slaid kaca ini di bawah mikroskop. Selain daripada itu, kahak pesakit juga boleh dicalit pada media kultur untuk membiakkan kuman bakteria TB. Kaedah ini amat berkesan dan spesifik untuk mengesan kuman TB. Dengan cara ini juga, kita boleh mengenalpasti jika kuman TB yang dihidapi sensitif atau tidak pada rawatan TB yang sedia ada.

Selain daripada itu, doktor juga boleh melakukan imbasan x-ray dada yang boleh mengesan perubahan paru-paru akibat TB. Pada x-ray pesakit TB, boleh ada tompokan putih, perubahan nodular atau pengerasan (‘fibrosis) pada paru-paru.

Ujian ‘Mantoux’ ataupun tuberkulin pula adalah ujian yang boleh juga dilakukan untuk mengesan TB. Ianya dilakukan dengan  mencucuk sedikit protein tuberkulin di bawah kulit pesakit.  Kemudian, selepas tiga hari, reaksi yang didapati pada kulit akan diukur. Berdasarkan saiz reaksi ‘melepuh’ pada kulit pesakit, tindakbalas tersebut akan dikira sebagai ‘positif’ jika ada kesan melepuh lebih daripada 1cm pada kulit pesakit atau negatif  jika tiada reaksi langsung pada kulit pesakit. (Reaksi yang diperoleh bergantung kepada status daya ketahanan badan  pesakit).

Ujian-ujian lain yang boleh dilakukan untuk mengesan TB termasuklah ujian darah dan ujian molekular seperti ujian ‘Polymerase chain reaction (PCR). Untuk penyakit TB selain daripada TB di paru-paru, doktor boleh mengesan kuman TB dengan mengambil sampel bahagian organ yang terlibat seperti air tulang belakang, serta biopsi atau mengambil sedikit sampel daripada nodus limfa, bahagian tulang, sumsum, usus dan lain-lain.

tuberculosis-tb-batuk-kering-komunikasi-kesihatan-6-638

Apakah Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Jangkita TB?

Vaksinasi BCG pada masa lahir adalah di antara cara untuk kita melindungi diri dan anak-anak kita daripada ancaman jangkitan batuk kering yang memudaratkan seperti TB miliari (jangkitan TB di beberapa organ di dalam tubuh yang telah merebak melalui saluran darah dan nodus limfa badan) dan TB meningitis (jangkitan TB di dalam otak). Vaksin BCG berfungsi dengan merangsangkan sistem daya ketahanan badan kita untuk membina antibodi terhadap bakteria batuk kering. 80% daripada populasi yang menerima BCG pada masa lahir akan mendapat perlindungan sekurang-kurangnya selama 15 tahun. Malangnya, ia tidak mampu melindungi diri kita seratus peratus daripada jangkitan batuk kering kerana kesan daya ketahanan badan  yang dihasilkan berkurangan apabila kita dewasa.

Bagi mana-mana individu yang bertugas untuk merawat pesakit TB secara langsung, mereka dinasihatkan untuk memakai topeng N95 untuk melindungi  diri mereka daripada terdedah kepada kuman TB. Malangnya, kaedah ini tidak berapa diamalkan  oleh sesetengah orang setiap hari.

Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk mengesan kes penyakit batuk kering dari peringkat awal dan merawat mereka yang telah dijangkiti dengan secepat mungkin untuk mengelakkan lebih ramai orang yang akan terdedah kepada kuman ini daripada mendapat jangkitan batuk kering.

dapatkan sekarang

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/