Banjir Dan Kesannya Kepada Mangsa

banjir

banjir

Fenomena bencana alam banjir sering berlaku pada musim tengkujuh iaitu pada setiap penghujung tahun di antara bulan November dan Disember. Di Malaysia, semua negeri tidak terkecuali daripada musibah banjir ini dan yang paling teruk terjejas adalah negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan juga Kelantan.

Selepas Pulau Pinang yang dilanda banjir terburuk di dalam sejarah negara kini Kelantan sedang menghadapai situasi yang sama. Paras air Sungai Golok dikatakan mencatatkan bacaan di tahap merbahaya yang menyebabkan ramai penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir yang disediakan oleh pasukan penyelamat dan pihak berkuasa. Sebelum ini, Negeri Pulau Pinang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang berlarutan lebih 15 jam semalaman. Hujan lebat menyebabkan paras air sungai meningkat dan bertembung dengan kejadian air pasang di laut mengakibatkan limpahan air berlaku dengan pantas. Hampir keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 1 meter. Susulan itu, puluhan jalan ditutup dan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Dalam pada itu menerusi platform media sosial, Netizen melahirkan rasa simpati dan ucapan doa kepada semua penduduk Pulau Pinang yang terlibat dalam malapetaka. Menerusi hashtag #PrayforPenang, netizen berharap penduduk negeri tersebut berasa dalam keadaan selamat. Bila musibah banjir ini melanda semua orang memberikan semangat dan juga pertolongan dari segi sumbangan barang-barang keperluan serta wang ringgit menerusi Tabung Derma Mangsa-Mangsa Banjir. Sikap keprihatinan dan perikemanusiaan di kalangan pemimpin juga yang mengenepikan ideologi politik bersatu hati di dalam menghadapi musibah banjir ini patut dipuji walaupun berlainan parti politik.

Bukan itu sahaja, perpaduan kaum juga dapat dilihat bila berlakunya bencana banjir apabila kisah seorang Bilal yang membenarkan surau digunakan untuk berteduh oleh mangsa-mangsa banjir yang bukan beragama Islam menjadi tular di media sosial yang mendapat pujian Netizen.

“Saya tak kisah apa orang kata, yang penting nyawa mereka dapat diselamatkan,”.

Itulah ucapan oleh Sapno Tukijo, 50, seorang bilal surau Taman Free School, Georgetown ketika memberi komen mengenai foto sekumpulan lelaki dan wanita berbangsa Cina yang menumpang di surau terbabit menjadi tular di media sosial. Ujarnya, jumlah sebenar mangsa yang terjejas akibat banjir awal pagi semalam yang terdiri daripada kaum Cina dan India adalah seramai 70 orang yang merupakan penduduk di kampung sekitar Lengkuk P Ramlee.

Katanya lagi, dia sendiri turut cuba menyelamatkan mangsa banjir yang ketika itu mahu menumpang teduh di tokong berdekatan dengan kampung mereka.

“Tokong terbabit terletak hanya beberapa meter di seberang jalan dan saya cuba membawa mereka dengan mengikat tali di kedua-dua tiang elektrik.

“Bagaimanapun usaha itu gagal kerana air deras dan naik mendadak hingga paras dada dan saya sendiri mempelawa mereka menumpang di surau,” katanya.

Sapno Tukijo turut memberitahu pada awalnya pelawaan dia ditolak oleh mangsa-mangsa tersebut kerana mereka segan dan menghormati surau tempat ibadah umat Islam tersebut, namun memahami apabila dia memberi penjelasan berhubung situasi yang dialami mereka ketika itu.

“Mereka akhirnya akur dan menumpang di surau ini malah ada yang tidak berbaju kerana keluar sehelai sepinggang ketika itu.

“Saya tahu ada yang akan mengecam tindakan itu namun saya rasa lebih bersalah sekiranya melihat mereka yang tidak tahu ke mana arah hendak dituju,” katanya lagi.

Kesimpulannya, walau apa pun pegangan agama kita, ideologi politik yang kita pegang selama ini bila berlaku kecemasan, bencana, dan juga musibah yang melanda negara kita. Sebagai Muslim yang sejati dan rakyat Malaysia yang melafazkan ikrar rukun negara, kita hendaklah menghulurkan tangan membantu sesiapa sahaja yang berada di dalam kesusahan semampu kita.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/