Fadilat Puasa Sunat Enam

Puasa Sunat Enam
Puasa Sunat Enam

Puasa Sunat Enam

Antara amalan sunat yang menjadi rebutan para solihin di bulan Syawal ialah amalan puasa sunat enam. Apakah puasa sunat enam? Bulan Ramadhan bakal berlalu pergi dan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Selain banyak membentuk dan mendidik, ia juga memberi peluang untuk kita merebut pahala berlipat ganda sekali gus meningkatkan keimanan serta ketakwaan. Kini dengan bakal tibanya bulan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, yang boleh menjadi kayu pengukur, sejauh mana bulan Ramadhan telah memberi kesan dalam jiwa kita.

Kalau di bulan Ramadan kita merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, membaca Al-Quran, bersedekah dan sebagainya, adakah selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?

Fadilat Dan Keutamaan Puasa Sunat Enam

Puasa sunat enam sangat besar fadilat serta ganjarannya. Diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, beliau telah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.” Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal, di samping menunaikan puasa fardu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan 10 kali ganda.

Berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari disamakan dengan 300 hari atau 10 bulan berpuasa dan puasa sunat enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Jadi genaplah setahun. Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya daripada puasa fardu. Jadi, pahala menunaikan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala menunaikan puasa fardu sebanyak setahun.

Puasa Sunat Enam Berturut-Turut Atau Berselang Seli

Puasa sunat enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ia sunat dan lebih afdal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 hari bulan Syawal dan boleh juga dikerjakan secara berselang seli atau dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal.

Imam Nawawi dalam Syarh Muslim, mengatakan, “Para ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa paling afdal (utama) melakukan puasa Syawal secara berturut-turut (sehari) setelah solat Aidilfitri. Namun jika tidak berurutan atau diakhirkan hingga akhir Syawal, maka seseorang tetap mendapat keutamaan puasa Syawal setelah sebelumnya menunaikan puasa Ramadhan.”

Seseorang itu boleh berpuasa Syawal tiga hari setelah Aidilfitri misalnya, secara berturut-turut atau tidak, kerana dalam hal ini ada kelonggaran. Namun, apabila seseorang berpuasa Syawal hingga keluar waktu (bulan Syawal) disebabkan malas, maka dia tidak akan mendapatkan ganjaran puasa Syawal.

Izin Suami

Walau dijanjikan pahala setahun dengan melaksanakan puasa enam Syawal, seorang isteri perlu mendapat keizinan dari suaminya terlebih dahulu, kerana puasa sunat enam tersebut adalah sunat, sedangkan mentaati suami yang berkeinginan adalah wajib diutamakan, melainkan suami redha dengan pelaksanaan puasa tersebut.

Apatah lagi jika seseorang isteri itu tertinggal puasa Ramadan kerana uzur syarie, dia digalakkan untuk mengqadanya pada bulan Syawal di samping ibadat puasa sunat pada masa yang sama, In Shaa Allah dengan cara itu dia akan mendapat pahala setahun berpuasa.

Hukum Bertamu Ketika Puasa Sunat Enam

Perlu diingat bahawa berpuasa bukan tiket dan alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Orang yang menerima undangan sedangkan dia berpuasa, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk memakan makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa fardu misalnya puasa qada Ramadhan atau puasa nazar, maka haram baginya berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.

Adapun sekiranya puasa yang dikerjakan itu adalah puasa sunat, maka dibolehkan baginya berbuka dan tidak meneruskan puasanya itu, bahkan adalah sunat baginya berbuka seandainya tuan rumah merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkan. Rasulullah SAW pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam sebuah majlis jamuan makan, baginda bersabda yang bermaksud: “Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu.” Kemudian baginda bersabda lagi kepadanya:”Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”

Tetapi jika tuan rumah atau tetamu tidak tersinggung atau tidak keberatan jika dia meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdal dan utama baginya untuk terus berpuasa.

dapatkan sekarang

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/