Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru
Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru

Guru ialah insan mulia yang mengajar dan mendidik kita tanpa mengira masa , tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat lilin yang membakar diri demi memberikan didikan terbaik kepada pelajar. Tanpa usaha dan pengorbanan guru tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang Lantaran itu, sewajarnya kita menghargai guru jasa dan pengorbanan para guru.

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru yang ‘membakar diri’ mendidik kita. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Sememangnya tugas guru sekarang amat mencabar seiring dengan cabaran era globalisasi yang memerlukan mereka mempersiapkan ketahanan dari segi fizikal dan mental di dalam mendidik anak bangsa. Antara matlamat dan objektif profesion guru di dalam negara ini ialah :

  1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  2. Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  3. Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa mereka. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Misalnya mereka mungkin ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit peha kanan peha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan sebagai tanda kita bersimpati terhadap mereka. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Jelaslah bahawa frasa ‘guru, jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.

Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa mereka dengan mendoakan kesejahteraan mereka yang telah mengajar dan mendidik kita. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika mereka sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik kita dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa.

Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan mereka itu sememangnya sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan. Tanpa mereka siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa mereka agar ilmu yang kita perolehi daripadanya mendapat keberkatan daripada tuhan. Renungilah bait puisi di bawah.

Guru,
kau ibarat dian yang membakar diri
melahirkan insan yang lestari
tanpa mengira waktu dan hari
segala ilmu dicurah dan diberi
kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.

dapatkan sekarang

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/