Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu
Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu

Selamat hari ibu, kepada semua kaum ibu di seluruh dunia secara amnya dan di Malaysia secara khususnya. Mengapa kita sebagai anak harus menghargai jasa ibu kita? Jawapannya adalah kerana ibu, emak, mak, mama, ami, umi, mommy dan apa jua gelaran yang kita berikan kepada orang yang telah mengandungkan kita selama 9 bulan 9 hari sebelum kita dilahirkan di dunia ini.

Ibu sanggup mengorbankan masa, tenaga, kerjaya, wang ringgit asalkan anak yang dikandungkan selamat dilahirkan dengan selamat dan sempurna cukup sifat. Pengorbanan seorang ibu tiada galang gantinya dengan permata, intan, berlian dan juga wang ringgit. Kasih sayangnya itu membawa kita ke syurga betapa tingginya nilai dan darjat seorang ibu di sisi Allah SWT. Sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah, kita wajib patuh dan taat kepada perintah ibu. Tiada ibu di dalam dunia ini yang ingin melihat anaknya tidak berjaya. Seorang ibu tidak akan pernah melupakan untuk mendoakan kejayaan anak-anaknya di dunia dan di akhirat.

Kasihnya ibu membawa ke syurga Allah, kasihnya ayah di sepanjang masa. Anak yang derhaka kepada kedua orang tuanya adalah anak yang mendapat murka Allah SWT dan tidak akan mencium bau syurga. Alangkah ruginya seorang anak apabila tidak sempat berbakti kepada kedua orang tuanya selagi mereka masih hidup di dunia ini. Dan lebih menyedihkan lagi anak-anak ini seakan lupa diri bila berjaya dan melupakan jasa orang tua dengan menghantar mereka ke rumah orang-orang tua dan langsung tidak dijenguk. Ini kerana mereka memberi alasan bahawa ibu bapa mereka sudah tidak waras lagi atau pun sudah nyanyuk.

Sedarlah akan dirimu wahai anak-anak sekelian termasuk diri admin sendiri. Sesungguhnya tanpa restu, kasih sayang dan doa ibu bapa yang sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya kamu semua bukanlah siapa-siapa. Jika darjat dan pangkat kamu dipandang tinggi di mata manusia di dunia ini tetapi kamu bukanlah siapa-siapa di sisi Allah SWT dan masyarakat langit sekiranya kamu mengabaikan, melupakan, menderhaka dan tidak berbakti kepada ibu kamu. Oleh itu, sedarlah wahai anak-anak sekelian bukan hanya pada sambutan Hari Ibu sahaja kamu memberi bunga, memberi ucapan dan meraikan ibu kamu kerana terikut-ikut akan trend semasa dan mahu dilihat sebagai anak yang berbakti di mata orang ramai tetapi setiap hari adalah Hari Ibu dan jika kamu berjauhan sekalipun dengan kedua-dua orang tua kamu telefon dan bertanyakan khabar mereka setiap hari itu sudah memadai bagi mereka untuk menghilangkan kerinduan terhadap anak mereka yang jauh di perantauan.

Ibu tiada galang gantinya, selagi dia masih hidup selagi itu kita harus berbakti dan menggembirakannya. Ingatlah, kejayaan, kebahagiaan dan kesenangan yang kamu kecapi pada hari ini adalah atas restu dan doa ibu kamu dengan izin Allah. Anak yang soleh ialah anak yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya. Selain amal ibadat semasa di dunia, anak soleh adalah harta yang yang akan membekalkan pahala dan amal berterusan di dunia ini sekiranya ibu bapa sudah meninggal dunia. Pastinya itu menjadi satu kebanggaan bagi ibu bapa yang berjaya mendidik anak mereka sehingga berjaya di dunia dan di akhirat kelak. Itu adalah matlamat utama dan impian para ibu untuk melihat anak-anaknya menjadi soleh dan solehah.

Kesimpulan

Walau seburuk mana dan sebesar mana dosa ibu di mata kamu wahai anak, kamu tidak berhak menjatuhkan hukuman dengan mengabaikan tanggungjawab kamu sebagai seorang anak. Selagi nyawa di kandung badan selagi itulah kamu dituntut untuk berbakti kepada mereka. Hanya Allah SWT sahaja yang berhak menjatuhkan hukuman kepada hamba-hambaNya yang lalai dan tidak patuh pada suruhanNya. Sekali lagi admin ingin mengingatkan diri admin dan anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa di dunia ini agar kita menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka telah menjaga dan mendidik kita semasa waktu kecil dahulu. Jangan sampai kita tergolong di dalam golongan anak derhaka kepada ibu bapa kerana kelak seksa api neraka amat pedih azabnya. Nauzubillah min zalik..

dapatkan sekarang

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my/videos/612746285555341/